KOTA KINABALU: Lima lelaki tempatan berdepan hukuman gantung sehingga mati berikutan rampasan syabu seberat 3.9 kilogram, dianggarkan bernilai RM1 juta dalam serbuan ke sebuah bengkel kenderaan yang dijadikan ‘markas’ dadah berhampiran BDC Industrial Estate, Jalan Kolombong, Inanam kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, polis turut menemui wang tunai berjumlah RM465,000, sepucuk pistol jenis Revolver berserta 12 peluru getah, peti besi digital serta peralatan menghisap dan membungkus syabu di bengkel berkenaan.
Turut dirampas lapan kenderaan mewah dan tiga motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai diperolehi suspek hasil aktiviti pengedaran dadah itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, dalam sidang media di sini kelmarin berkata serbuan dilakukan sempena Ops Cantas Khas Jabatan Narkotik cawangan Kota Kinabalu itu hasil maklumat orang awam dan intipan.
Beliau berkata pihaknya terpaksa memecah masuk pintu utama bengkel terbabit setelah pemiliknya enggan memberi kerjasama selepas diberi amaran.
Katanya, serbuan ke atas bengkel membaiki kereta itu dilakukan kerana ia disyaki digunakan sebagai tempat menjalankan aktiviti pengedaran dadah.
“Dalam serbuan itu, sebanyak 3.9 kilogram dadah dipercayai jenis syabu dirampas selain wang tunai dan beberapa barang lain yang disimpan secara berasingan di ketiga-tiga bilik premis bengkel jenis dua tingkat berkenaan.
“Dalam operasi itu, kita menahan lima suspek berusia 28 hingga 41 tahun di bengkel berkenaan dan susulan itu, polis merampas lapan kenderaan mewah termasuk jenis Range Rover, Nissan Sykline, Toyota Vellfire serta tiga motosikal yang mana kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.9 juta. Semua kenderaan berkenaan dipercayai hasil kegiatan penjualan dadah,” katanya.
Hamza berkata hasil siasatan awal mendapati kelima-lima suspek yang ditahan adalah ahli sindiket dadah tempatan dan menerima bekalan dadah dari pihak luar.
“Ujian air kencing yang dilakukan mendapati tiga daripada suspek yang ditahan positif dadah,” katanya, sambil mengesahkan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan kerana mengedar dadah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar