Jumat, 08 November 2013

Taufan Haiyan badai Filipina

Manila: Taufan paling dahsyat di dunia tahun ini dan yang paling kuat sampai di daratan membadai Filipina semalam memaksa lebih sejuta orang menyelamatkan diri selepas perkampungan mereka dinaiki air.
 SEBUAH rumah ditenggelami ombak tinggi di Kota Legazpi, wilayah Albay, semalam.
Haiyan dengan kategori 5 taufan besar membadai dua destinasi pelancongan di bahagian utara wilayah Cebu sebelum menuju barat laut ke arah Pulau Boracay selepas melalui kepulauan tengah Leyte dan Samar dengan kekuatan angin 275 kilometer sejam (kmsj) dan ombak setinggi lima hingga enam meter.

Sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan tujuh cedera, kata jurucakap agensi bencana kebangsaan Rey Balido kepada pemberita di Manila. Jumlah kematian dijangka meningkat.
Bekalan elektrik dan komunikasi di tiga pulau besar Samar, Leyte dan Bohol hampir terputus sepenuhnya, namun pihak berkuasa berjanji memulihkannya dalam tempoh 24 jam.

Pihak berkuasa turut memberi amaran 12 juta orang berada dalam bahaya termasuk di Kota Cebu yang mempunyai 2.5 juta penduduk selain beberapa kawasan yang masih belum pulih sepenuhnya ekoran taufan pada 2011 serta gempa bumi berukuran 7.2 pada skala richter, bulan lalu.

“Taufan itu berkemungkinan membadai daratan dengan kekuatan angin 313kmsj.
Ini menjadikan Haiyan siklon terbesar direkodkan di daratan,” kata pengarah meteorologi Weather Underground Jeff Masters.

Kira-kira sejuta orang mendapatkan perlindungan di 29 wilayah selepas Presiden Benigno Aquino menggesa mereka yang tinggal di laluan taufan itu meninggalkan rumah masing-masing.
“Sekolah kami kini dipenuhi mangsa taufan,” kata guru sekolah rendah di Leyte Selatan dikenali sebagai Feliza.

Leyte dan Leyte Selatan terletak 630 kilometer (km) di tenggara Manila. Setiausaha Tenaga Jericho Petilla melaporkan banjir setinggi tiga meter di sebuah perkampungan di Leyte.

“Buat masa ini tiada langsung komunikasi,” katanya. “Jalan masih tidak dapat dilalui dan ada beberapa kawasan berlaku tanah runtuh,” kata gabenor wilayah Leyte Selatan Roger Mercado.

Menurutnya, lebih 100 rumah di persisiran pantai musnah manakala tanah runtuh turut memusnahkan kediaman di kawasan bukit, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini. Sementara itu, Gabenor Samar Sharee Tan berkata, seluruh wilayah itu tiada bekalan elektrik manakala beberapa perkampungan terputus hubungan sama sekali.

Perkhidmatan feri dan penangkapan ikan serta 13 lapangan terbang digantung mengakibatkan lebih 450 penerbangan tempatan serta lapan antarabangsa turut terganggu. 

Bengkel jadi ‘markas’ dadah

KOTA KINABALU: Lima lelaki tempatan berdepan hukuman gantung sehingga mati berikutan rampasan syabu seberat 3.9 kilogram, dianggarkan bernilai RM1 juta dalam serbuan ke sebuah bengkel kenderaan yang dijadikan ‘markas’ dadah berhampiran BDC Industrial Estate, Jalan Kolombong, Inanam kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, polis turut menemui wang tunai berjumlah RM465,000, sepucuk pistol jenis Revolver berserta 12 peluru getah, peti besi digital serta peralatan menghisap dan membungkus syabu di bengkel berkenaan.
Turut dirampas lapan kenderaan mewah dan tiga motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai diperolehi suspek hasil aktiviti pengedaran dadah itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, dalam sidang media di sini kelmarin berkata serbuan dilakukan sempena Ops Cantas Khas Jabatan Narkotik cawangan Kota Kinabalu itu hasil maklumat orang awam dan intipan.
Beliau berkata pihaknya terpaksa memecah masuk pintu utama bengkel terbabit setelah pemiliknya enggan memberi kerjasama selepas diberi amaran.
Katanya, serbuan ke atas bengkel membaiki kereta itu dilakukan kerana ia disyaki digunakan sebagai tempat menjalankan aktiviti pengedaran dadah.
“Dalam serbuan itu, sebanyak 3.9 kilogram dadah dipercayai jenis syabu dirampas selain wang tunai dan beberapa barang lain yang disimpan secara berasingan di ketiga-tiga bilik premis bengkel jenis dua tingkat berkenaan.
“Dalam operasi itu, kita menahan lima suspek berusia 28 hingga 41 tahun di bengkel berkenaan dan susulan itu, polis merampas lapan kenderaan mewah termasuk jenis Range Rover, Nissan Sykline, Toyota Vellfire serta tiga motosikal yang mana kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.9 juta. Semua kenderaan berkenaan dipercayai hasil kegiatan penjualan dadah,” katanya.
Hamza berkata hasil siasatan awal mendapati kelima-lima suspek yang ditahan adalah ahli sindiket dadah tempatan dan menerima bekalan dadah dari pihak luar.
“Ujian air kencing yang dilakukan mendapati tiga daripada suspek yang ditahan positif dadah,” katanya, sambil mengesahkan kesemua suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan kerana mengedar dadah.